Baucar Buku

Baucar Buku
Kami Menerima Baucar Buku 1Malaysia

Monday, November 2, 2009

Tafsir 'Ilmi

Pendahuluan

Tafsir ‘ilmi ialah tafsir yang menjelaskan makna isyari (melalui petunjuk) yang mengagungkan dan membesarkan Allah s.w.t. melalui ciptaanNya. Tafsir ‘ilmi ini termasuk dalam perbahasan tafsir isyari menurut pendapat al-Syeikh Khalid Abdul Rahman al-‘Ak. Ini adalah kerana tafsir ilmi tidak termasuk padanya syarat-syarat tafsir al-‘aqli al-Ijtihadi.



Kaedah pentafsiran tafsir ‘ilmi ini lebih kepada petunjuk melalui kajian sains dan bukannya menggunakan ijtihad melalui akal. Oleh sebab itu, ada ulama’ tafsir memasukkan tafsir ilmi ini dalam tafsir isyari. Tafsir ilmi adalah berasaskan kepada penerangan dan penjelasan melalui isyarat daripada al-Quran sendiri yang menunjukkan kepada kehebatan ciptaan Allah s.w.t.

Allah berfirman yang bermaksud:
“Akan Kami tunjukkan kepada mereka bukti-bukti kebenaran Kami di segenap ufuk (penjuru) dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelas kepada mereka bahawa al-Quran itu benar. Surah Fussilat: ayat 53.

Dalam kitab Tafsir al-Quran al-‘Azim, al-Imam Ibn Kathir berkata, “(Allah) akan tunjukkan bukti-bukti serta dalil-dalil di alam ini yang menunjukkan bahawa al-Quran ini adalah benar.” Untuk menerokai dan mengeluarkan bukti serta dalil daripada alam, sains diperlukan.

Seterusnya, berhubung dengan firman Allah yang bermaksud, “Dan pada diri mereka sendiri,” Imam Ibn Kathir berkata, “Berkemungkinan yang dimaksudkan oleh ayat ini ialah apa yang terdapat dalam tubuh badan manusia yang menakjubkan, sebagaimana yang dapat dilihat dalam ilmu tasyrih (anatomi). Kesemua ini akan menampakkan kebijaksanaan Yang Maha Pencipta”. Untuk mengenali organ serta memahami sistem yang terdapat dalam tubuh manusia, sains juga diperlukan.

Dalam al-Asas fi al-Tafsir Sa’id Hawwa berkata, “Dalam buku saya bertajuk ‘Ar-Rasul’ saya membuktikan bagaimana Allah menunaikan janjinya yang terdapat dalam ayat ini. Jika manusia melihat kepada segenap penjuru alam dan diri mereka sendiri, mereka akan melihat sesuatu yang membenarkan al-Quran. Apabila apa yang mereka lihat itu dikaitkan dengan apa yang terdapat dalam al-Quran, mereka akan meyakini bahawa al-Quran sebenarnya datang daripada Allah. Saya telah memberikan banyak contoh berhubung perkara ini dan sesiapa yang membaca kitab tafsir ini (iaitu al-Asas fi al-Tafsir) dia akan memahaminya secara yang lebih jelas.”

Dalam Tafsir al-Azhar pula Hamka berkata, “Dalam ayat ini dinyatakan bahawa al-Quran ini kian lama kian nyata kebenarannya. Bukti kebenaran itu akan muncul di segenap penjuru bahkan pada diri mereka (manusia) sendiri. Mungkin beberapa perkara yang diterangkan Quran tatkala ia mula diturunkan belum difahami tetapi kelak (ketika zaman berubah) dan otak manusia menjadi (semakin maju) akan nampaklah kebenaran itu. Sudah 14 abad al-Quran diturunkan dan semakin berkembang pengetahuan manusia tentang alam (semakin) bersinarlah rahsia kebenaran Quran.”

Pendapat Ulama’ Tentang Tafsir ‘Ilmi
Ulama’-ulama’ tentang telah membahaskan tentang tafsir ini secara mendalam. Secara umumnya, hukum berkenaan tafsir ini terbahagi kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama adalah kumpulan yang membenarkan, sementara itu kumpulan kedua pula melarang penggunaan tafsir ‘ilmi ini di dalam mentafsirkan al-Quran.

1) Kumpulan ulama’ yang melarang

Mereka berpendapat tafsir ‘ilmi ini dilarang dalam pentafsiran al-Quran kerana beberapa alasan dan hujah. Antaranya, dakwah al-Quran supaya melihat kepada alam dan sains adalah dakwah secara umum iaitu supaya berfikir dan mengambil pengajaran dan bukanlah dakwah kepada perincian dan ilmu-ilmu disebaliknya. Mereka berpendapat tidak perlulah mengambil perincian dari sains kerana dakwah al-Quran hanyalah untuk mengambil iktibar, nasihat dan pengajaran daripada keagungan ciptaanNya. Oleh itu, tidak perlulah menggunakan sains sebagai sumber dalam mentafsirkan al-Quran.

Selain itu, mereka juga berpandangan yang mukjizat al-Quran adalah tetap, sedangkan sains sentiasa berubah-ubah mengikut keadaan, masa dan pengkaji. Kajian sains kadangkala berubah-ubah dari suatu zaman ke zaman yang lain, manakala mukjizat al-Quran adalah tetap sama ada zaman berubah ataupun tidak. Sifat sains yang beginilah menyebabkannya tidak dibenarkan dalam mentafsirkan al-Quran. Inilah antara hujah yang dikemukakan oleh kumpulan yang tidak bersetuju dengan tafsir ‘ilmi.

2) Kumpulan ulama’ yang membenarkan

Antara ulama’-ulama’ yang membenarkan tafsir ‘ilmi ini digunakan dalam pentafsiran al-Quran ialah al-Imam al-Ghazali, al-Imam al-Suyuti, al-Imam al-Fakhrul Razi dan Muhammad Abdul Azim al-Zarqani. Mereka mengemukakan beberapa hujah, antaranya:

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Maka tidakkah mereka memerhatikan langit yang ada di atas mereka, bagaimana cara Kami membangunkan dan menghiasinya, dan tidak terdapat retak-retak sedikit pun?”. Surah Qaf: ayat 6.

Dalam ayat ini jelas menunjukkan yang Allah s.w.t. menggalakkan supaya mengkaji bagaimana langit dibangunkan dan tiada cara untuk mengetahui bagaimana langit dibangunkan melainkan dengan kajian sains. Oleh itu, sains diperlukan dalam mendetailkan ayat tersebut dari sudut sains. Selain itu, tafsir ‘ilmi ini juga adalah salah satu cara baru dalam menunjukkan mukjizat al-Quran dan menyerlahkan lagi mukjizat yang telah sedia ada.

Beberapa sarjana Islam yang terkenal kini dalam membahaskannya, seperti Dr. Zakir Naik. Melalui beberapa siri dakwah beliau di seluruh dunia, dapat dibuktikan kebenaran al-Quran dengan ramainya orang-orang kafir yang memeluk agama Islam kerana jelas kepada mereka mukjizat al-Quran melalui kajian sains tersebut. Ini menunjukkan tentang keharusan menggunakan sains sebagai tafsiran bagi ayat-ayat kauniyah (sains dan penciptaan).

Seterusnya, keharusan dalam menggunakan tafsir ‘ilmi ini dalam pentafsiran al-Quran juga kerana Allah s.w.t. sendiri telah meletakkan dalam kitabNya tentang sains, kekuasaan, hikmah kejadian langit dan bumi, malam dan siang, matahari, bulan dan bintang. Perkara-perkara ini disebutkan banyak tempat dalam al-Quran.


Kitab-kitab Tafsir yang menggunakan Tafsir ‘ilmi:
a) Al-Tafsir al-Kabir oleh al-Imam Fakhrul al-Razi.
b) Al-Jawahir fi Tafsir al-Quran al-Karim oleh Tantawi Jauhari.
c) Kasyfu al-Asrar al-Nuraniyyah al-Quraniyyah oleh Muhammad bin Ahmad al-Askandarani.
d) Al-Tafsir al-‘Ilmi li al-Ayat al-Kauniyyah oleh Hanafi Ahmad.
e) Al-Quran Yanbu’ al-‘Ulum wa al-‘Urfan oleh ‘Ali Fikri.

Namun pada hari ini telah terdapat buku-buku yang berkait rapat antara sains (kauniyah) dan Islam seperti:

1. IslĀm and the Philosophy of Science
2. The Positive Aspects of Tasawwuf oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas
3. Classification of Knowledge in Islam dan The History and Philosophy of Science oleh Osman Bakar
4. The Physical Theory of Kalam oleh Alnoor Dhanani
5. Health and Medicine in the Islamic Tradition
6. Avicenna’s De Anima


Contoh–contoh sains dalam islam

Di sini dibawa beberapa contoh kepada ilmu sains yang terdapat di dalam al-Quran seperti:
1. Alam semesta mengembang
Berhubung fenomena ini, dalam al-Quran Allah berfirman yang bermaksud:
“Dan langit Kami bangunkan dengan kekuasaan Kami dan sesungguhnya Kami benar-benar meluaskannya”. Surah al-Zaariyat: ayat 47.
Dalam ayat ini Allah Menggunakan perkataan muusi’un yang berasal daripada wasa’a. Hans Wehr A Dictionary of Modern Written Arabic oleh J Milton Cowan menterjemahkan perkataan wasa’a sebagai to be wide, roomy, spacious, extensive yang bermaksud menjadi besar, luas. Justeru Imam Ibn kathir dalam Tafsir al-Quran al-A’zim menyatakan, ayat ini bermaksud “ Kami (Allah) meluaskan segenap penjuru (langit) dan Kami meninggikannya tanpa tiang.”

Pada permulaan abad ke 20, seorang ahli fizik Russia Alexander Friedmann dan ahli kosmologi Belgium George Le'maitre telah membuat pengiraan secara teori bahawa alam semesta adalah dalam keadaan pergerakan yang berterusan sebenarnya berkembang.

Fakta ini juga telah dibuktikan melalui data dari pemerhatian yang dijalankan pada tahun 1929. Edwin Hubble seorang ahli astronomi Amerika yang membuat pemerhatian di langit dengan menggunakan teleskop, mengisytiharkan bahawa bintang-bintang dan galaksi-galaksi bergerak menjauhi antara satu sama lain secara berterusan. Sebuah alam semesta di mana semua benda di dalamnya secara konstan bergerak menjauhi sesama mereka, jelas menggambarkan pengembangan alam semesta itu. Pemerhatian yang dijalankan dalam tahun berikutnya mengesahkan bahawa alam semesta adalah berkembang secara berterusan. Fakta ini telah di jelaskan dalam Al-Qur'an ketika mana hal ini masih belum lagi pernah diketahui oleh manusia. Ini adalah kerana Al-Qur'an adalah kalam Tuhan, maha Pencipta dan Pemerintah bagi seluruh alam semesta.

Pada Hari ini dengan bantuan alat yang lebih canggih penemuan-penemuan semasa semakin memantapkan lagi teori pengembangan alam ini.Pada tanggal 16 Mac 2006, di bawah tajuk Astromers Detect First Split-Second of the Univers, Space.com melaporkan pakar-pakar astronomi NASA menemui bukti-bukti baru yang mengukuhkan lagi teori Big Bang. Mereka mendapati pada peringkat awal kejadian kosmos alam ini adalah lebih kecil daripada atom. Kemudian pada masa satu per setrilion saat ia mengembang sehingga menjadi kosmos yang luas. Penemuan ini dilaporkan data yang disalurkan oleh satelit NASA yang dilancarkan pada tahun 2001. Satelit ini dikenali sebagai Wilkinson Microwave Anistropy Probe atau WMAP. Ia mengukuhkan teori alam mengembang sekali gus menampakkan kebenaran al-Quran.

2. Langit sebagai bumbung yang protektif
Dalam Al-Qur'an, Tuhan menarik perhatian kita kepada ciri-ciri yang sangat mengagumkan di atas langit. Allah berfirman yang bermaksud:
“ Dan Kami jadikan langit itu sebagai atap terpelihara sedang mereka berpaling dari segala tanda (kekuasaan Allah) yang terdapat padanya”. Surah al-Anbiya’: ayat 32.
Sifat istimewa langit ini telah dibuktikan melalui kajian saintifik yang dijalankan pada abad ke 20. Ruang atmosefera yang mengelilingi bumi sebenarnya menjalankan fungsi yang sangat penting untuk mengekalkan kehidupan untuk wujud. Ketika memusnahkan meteor-meteor besar dan kecil ketika mendekati bumi, ia menghalangnya dari jatuh ke dalam bumi dan dari membahayakan makhluk hidupan.

Sebagai tambahan, atmosfera menapis sinaran yang datang dari luar angkasa yang sangat membahayakan kepada hidupan. Apa yang menariknya, atmosfera menelap sinaran yang berguna dan berfaedah, cahaya nampak, tak nampak dan gelombang radio untuk menembusinya. Semua jenis radiasi ini adalah sangat penting kepada kehidupan. Cahaya nampak, yang sebahagiannya dibenarkan menembusi dalam atmosfera adalah sangat diperlukan untuk menjalankan proses fotosintesis dalam tumbuhan yang membantu mengekalkan makhluk hidupan. Kebanyakan sinaran ultra violet dengan keamatan tinggi yang dipancarkan oleh matahari di telap keluar oleh lapisan ozon dalam atmosfera dan hanya membataskan dan yang paling penting bahagian kecil dalam spektrom ultra violet untuk mencecah permukaan bumi.

Fungsi protektif atmosfera tidak berakhir di sini. Atmosfera juga melindungi bumi dari kesan pembekuan dari luar angkasa, dengan suhu lebih kurang 270 darjah centigrade.

Sebenarnya atmosfera tidak bersendirian dalam menjalankan fungsi perlindungan kepada bumi. Sebagai tambahan kepada atmosfera, Jalur Allan Velt, lapisan yang dihasilkan oleh medan magnet bumi, juga berfungsi sebagai perlindungan menentang radiasi yang merbahaya yang mengancam planet kita. Radiasi merbahaya ini, yang secara berterusan dipancarkan oleh matahari dan bintang-bintang lain berpotensi membawa maut kepada makhluk hidupan. Sekiranya Jalur Van Allan tidak wujud, letupan besar-besaran oleh tenaga yang dipanggil nyalaan solar (solar flares) yang kerap terjadi di matahari akan menghancurkan semua kehidupan dalam dunia.
Dr Hugh Ross menyatakan hal ini mengenai kepentingan jalur Van Allen kepada kehidupan:

Sebenarnya, bumi mempunyai kepadatan paling tinggi berbanding sebarang planet dalam sistem solar kita. Teras besar nikal-besi ini bertanggungjawab untuk medan magnet gergasi kita. Medan magnet ini menghasilkan perisai radiasi Van Allen yang melindungi bumi dari pengeboman radiasi. Sekiranya perisai ini tidak wujud, kehidupan tidak mungkin berada di bumi. Satu-satunya planet berbatu yang mempunyai medan magnet ialah Utarid- tetapi kekuatan medannya 100 kali lebih kecil berbanding medan magnet bumi, bahkan Zuhrah, saudara planet kita, tidak mempunyai sebarang medan magnet. Perisai radiasi Van Allen adalah satu rekaan yang unik kepada bumi.

Tenaga yang dipancarkan dari salah satu pembakaran yang dikesan baru-baru ini telah dikira dan dipastikan adalah bersamaan dengan 100 juta kali ganda bom atom yang digugurkan di Hiroshima!!. 58 jam selepas letupan ini, jarum kompas magnetik diperhatikan menunjukkan pergerakan yang luar biasa dan 250 kilometer di atas atmosfera bumi, suhu jatuh mendadak kepada 2500 darjah selsius.
Ringkasnya, sebuah sistem yang sempurna sedang bekerja di luar permukaan bumi.
Ia mengelilingi dunia kita dan melindunginya dari ancaman luar”.

Saintis hanya menyedari hal ini beberapa tahun lalu. Tetapi Tuhan telah menerangkan kepada kita dalam Al-Qur'an mengenai atmosfera bumi yang berfungsi sebagai perisai pelindung 14 abad lalu.

3. Pergerakan Gunung Ganang

Dalam sebaris ayat, kita telah dimaklumkan bahawa gunung-ganang bukanlah kaku seperti yang kita lihat, tetapi adalah dalam pergerakan secara berterusan.Allah berfirman yang bermaksud:
“Dan kamu lihat gunung-gunung itu, kamu sangka dia tetap di tempatnya, padahal ia berjalan sebagai jalannya awan. (Begitulah) perbuatan Allah yang membuat dengan kukuh tiap-tiap sesuatu; Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan”. Surah al-Naml: ayat 88.

Pergerakan gunung-ganang ini adalah disebabkan oleh gerakan dalam kerak bumi di mana ia terletak. Kerak bumi 'terapung' di atas lapisan mantel, yang lebih padat. Pada awal kurun ke 20, pertama kali dalam sejarah apabila seorang saintis jerman bermana Alfred Wegener mengemukakan bahawa benua-benua bumi sebenarnya bergabung bersama ketika ia terbentuk pertama kali, tetapi kemudian hanyut dalam arah yang berbeza-beza, dan akhirnya terpisah ketika bergerak menjauhi antara satu sama lain.

Pakar geologi baru hari ini menyedari bahawa Wegener sebenarnya adalah benar ketika mengemukakan fakta ini pada tahun 1980- an, 50 tahun selepas kematiannya. Seperti yang dinyatakan oleh Wegener dalam artikel yang diterbitkan pada tahun 1915, daratan bumi terbentuk dalam satu gugusan daratan 500 juta tahun lalu, dan daratan besar ini yang dipanggil Pangaea, terletak di kutub selatan.

Melalui anggaran, 80 juta tahun lalu, Pangaea terbahagi kepada dua bahagian yang hanyut dalam arus yang berbeza. Satu dari benua gergasi ini ialah Gondwana, yang meliputi Afrika, Australia, Antartika dan India. Bahagian yang satu lagi dipanggil Laurasia yang meliputi Eropah, Amerika utara dan Asia kecuali India. Lebih dari 150 juta tahun selepas pemisahan ini, Gondwana dan Laurasia berpecah kepada bahagian yang lebih kecil.

Semua benua ini yang timbul selepas penghayutan dataran Pangaea, bergerak secara konstan di permukaan bumi pada kadar beberapa sentimeter setahun, pada masa yang sama menyebabkan perubahan keseimbangan laut dan darat di bumi. Ditemui sebagai satu hasil kajian geologikal yang dijalankan pada awal abad ke 20, pergerakan kerak bumi ini dijelaskan oleh saintis sebagai berikut;

Kerak dan bahagian atas mantel, dengan ketebalan hampir 100 kilometer, terbahagi kepada beberapa segmen dipanggil daratan. Terdapat enam daratan besar dan beberapa daratan kecil. Berdasarkan kepada teori dipangil 'tektonik daratan', daratan ini bergerak berpusing permukaan bumi, dengan membawa benua-benua dan lantai lautan bersamanya, pergerakan benua telah disukat pada kadar 1-5 sentimeter per-tahun. Pergerakan daratan yang berterusan ini akan mengubah sedikit demi sedikit kedudukan geografi dunia. Setiap tahun, sebagai contoh, lautan Atlantik menjadi sedikit lebih luas.

Di sana harus dinyatakan beberapa fakta penting; Allah merujuk pergerakan gunung-ganang sebagai satu gerakan 'penghanyutan' dalam ayat tersebut. Hari ini, saintis moden juga menggunakan istilah ‘hanyutan benua' untuk fenomena ini.

Suatu yang tidak diragui ialah satu dari keajaiban Al-Qur'an ialah fakta saintifik ini yang baru diketahui baru-baru ini melalui bidang sains, telah pun dikhabarkan dalam Al-Qur'an.

4. Formasi Hujan
Bagaimana pembentukan hujan kekal sebagai misteri besar untuk beberapa lama. Hanya setelah penciptaan ‘radar cuaca’ barulah peringkat-peringkat pembentukan hujan dapat di ketahui.

Berdasarkan hal ini, pembentukan hujan terjadi dalam 3 peringkat. Pertama, bahan asas dalam hujan naik ke udara melalui tiupan angin. Kemudian, awan pun terbentuk dan akhirnya titisan hujan pun timbul.

Penilaian Al-Qur'an mengenai formasi hujan merujuk secara tepat kepada proses ini. Dalam sepotong ayat, pembentukan ini diterangkan sebagai berikut.Allah berfirman yang maksudnya:
"Allah, Dialah yang mengirim angin lalu angin itu menggerakkan awan dan Allah membentangkannya di langit menurut yang dikehendakiNya, dan menjadikannya bergumpal-gumpal, lalu kamu lihat hujan keluar dari celah-celahnya. Maka apabila hujan itu turun menimpa hambaNya yang dikehendakiNya menjadikan mereka gembira”. Surah al-Rum: ayat 48.

Zarah-zarah yang mengelilingi titisan garam dan zarah-zarah habuk semakin menebal dan membentuk titisan hujan, jadi, titisan yang menjadi lebih berat daripada udara akan meninggalkan gumpalan awan dan mula untuk gugur ke bumi sebagai hujan.

Sepertimana yang kita lihat, setiap peringkat dalam pembentukan hujan adalah berkaitan dengan ayat-ayat di dalam Al-Qur'an. Selanjutnya, semua peringkat ini diterangkan secara tepat dengan tertib yang tepat. Sama seperti fenomena semulajadi yang lain yang berlaku di bumi. Tuhan memberikan penjelasan yang paling tepat seperti fenomena-fenomena ini dan memaklumkan kepada manusia di dalam kitab Al-Qur'an beberapa abad sebelum ianya diketahui. Dalam ayat lain, maklumat berikut diterangkan mengenai pembentukan hujan.Allah berfirman yang maksudnya:
"Tidakkah kamu melihat bahawa Allah mengarak awan, kemudian mengumpulkan antara (bagian-bagian)nya, kemudian menjadikannya bertindih-tindih, maka kelihatan olehmu hujan keluar dari celah-celahnya, dan Allah juga menurunkan (butiran) ais dari langit, dari gumpalan awan seperti gunung maka ditimpakanNya ais itu kepada siapa yang dikehendakiNya dan dipalingkanNya siapa yang dihendakiNya. Kilauan kilat itu hampir-hampir menghilangkan penglihatan”. Surah al-Nur: ayat 43.

Para saintis yang mengkaji jenis-jenis awan menemui keputusan yang amat mengejutkan berkenaan dengan formasi gumpalan awan hujan. Gumpalan-gumpalan awan terbentuk berdasarkan kepada susunan dan peringkat yang amat jelas. Peringkat pembentukan awan Kumulonimbus, satu jenis dari awan seperti berikut.

Digerakkan dengan tiupan angin : gumpalan awan yang bergerak bersama iaitu digerakkan dengan tiupan angin. Berkumpul kemudiannya, awan-awan yang kecil (awan kumulus) yang digerakkan oleh angin berkumpul bersama, membentuk gumpalan yang lebih besar.

Apabila awan-awan kecil telah berkumpul, rangka dalam lingkungan awan yang lebih besar bertambah. Rangka yang berada dekat dengan pusat awan adalah lebih kukuh berbanding yang berada di tepi rangka-rangka ini menyebabkan awan berkembang secara menegak, dan menyebabkan gumpalan awan berlonggok-longok. Perkembangan menegak ini menyebabkn jasad kita menganjur dalam ke bahagian yang lebih sejuk di dalam atmosfera. Di mana titisan air dan awan membentuk dan mula mengembang dengan lebih besar lagi. Apabila titisan air dan ais ini menjadi lebih berat sehingga gagal untuk ditampung oleh rangka di mana mereka terletak akhirnya mereka akan gugur dari gumpalan awan sebagai hujan, ais dan lain-lain.

Suatu yang harus diingat bahawa pakar meteorologi hanya mengetahui maklumat terperinci pembentukan hujan, struktur dan fungsinya hanya di akhir-akhir ini dan melalui peralatan canggih seperti kapal terbang, satelit, computer dan lain-lain. Ianya adalah bukti bahawa Tuhan telah memberikan kita cebisan maklumat yang tidak diketahui 1400 tahun dahulu.

Masih terlalu sedikit contoh-contoh yang diberi.Ini kerana di dalam al-Quran terdapat terlalu banyak ilmu yang melibatkan sains. Oleh itu ia hanyalah cebisan daripada ilmu sains yang terdapat di dalam al-Quran.

Sains di Barat dan Islam

Secara mudahnya sains boleh ditakrifkan sebagai kajian terhadap alam tabie’. Pengamatan terhadap alam tabie’ membolehkan manusia memahami hukum-hukum yang menguasai setiap kejadian dan feneomena di alam ini. Sains barat telah memberikan satu sumbangan yang besar terhadap kemanusiaan apabila mencipta satu disiplin kajian yang berasaskan kepada prinsip emperikal. Semua feneomena yang kompleks dipecahkan kepada unit-unit kecil bagi membolehkan satu hipotesis dikemukakan. Hipotesis itu kemudiannya diuji di dalam makmal dengan menggunakan kaedah dan peralatan saintifik. Hasilnya adalah satu dapatan yang dapat dipertahankan melalui logika dan bukti eksperimen.

Penemuan hukum gerakan oleh Newton telah menjadi titik tolak kepada penciptaan kereta dan alatan mekanik yang lain. Marie Curie telah menemui bahan radioaktif yang membuka jalan kepada dunia atom.Penemuan hubungan antara jisim dan tenaga oleh Albert Eistein telah membolehkan bom atom dicipta melalui Projek Manhattan pada tahun 1940an.

Kajian sains barat bertujuan untuk memahami hukum-hukum yang menguasai alam tabie’ dan seterusnya menggunakan hukum-hukum tersebut untuk menghasilkan teknologi bagi kemudahan hidup manusia. Satu soalan yang tidak pernah ditanyai oleh sains barat ialah siapakah yang telah menciptakan hukum-hukum tersebut? Soalan tersebut biasanya dijawab dengan menggunakan satu perkataan iaitu nature atau semulajadi. Sains bersifat objektif dan emperikal yakni sesuatu perkara hanya diterima sebagai benar jika dapat dibuktikan kebenarannya melalui eksperimen. Sains barat tidak mahu menjawab yang alam ini dijadikan oleh Tuhan. Ini adalah kerana sejarah awal kelahiran sains barat telah menyaksikan pertentangan sengit di antara ahli sains dan gereja.

Di antaranya ialah pertentangan di antara Galileo Galilie dengan gereja tentang apakah yang menjadi pusat alam. Gereja berpegang kepada teori geocentric ahli falsafah Yunani, Ptolemy yang mengatakan bumi adalah pusat alam. Matahari dan planet-planet yang lain beredar mengelilingi bumi. Gereja adalah wakil Tuhan di atas muka bumi ini dan pendapat gereja tentang geocentric ini dianggap sebagai kebenaran mutlak daripada Tuhan dan tidak boleh ditentang. Pendapat ini telah ditentang oleh Galileo yang berpandangan heleocentrik yakni matahari adalah pusat alam. Bumi dan planet-planet yang lain beredar mengelilinginya. Galileo akhirnya ditangkap dan dipenjarakan. Ramai saintis lain yang dibunuh, disalib dan dibakar hidup-hidup. Ahli sains akhirnya memenangi pertarungan ini.

Pengalaman pahit ditindas oleh ahli agama telah menyebabkan sains telah berkerat rotan dan berpatah arang dengan agama. Sains barat terus berkembang tanpa nilai dan agama.Peradaban Barat telah menjadikan ilmu sebagai masalah. Ilmu dalam Peradaban Barat telah mengangkat keraguan dan dugaan ke tahap metodologi ‘ilmiah’ Pembaratan (western) ilmu telah menjadikan keraguan sebagai alat epistemologi yang sah dalam keilmuan, menolak wahyu dan kepercayaan agama dalam ruang lingkup keilmuan dan menjadikan spekulasi falsafah yang berkaitt dengan kehidupan sekular yang memusatkan manusia sebagai makhluk rasional sebagai asas keilmuan. Akibatnya, peradaban Barat telah menghasilkan ilmu pengetahuan dan nilai-nilai etika dan moral, yang diatur oleh rasional manusia, terus menerus berubah.Syed Muhammad Naquib al-Attas menyimpulkan ilmu pengetahuan moden yang dibangun di atas visi intelektual dan psikologis budaya dan peradaban Barat dijiwai oleh lima faktor:

Pertama, akal digunakan untuk membimbing kehidupan manusia; kedua, bersikap dualistik terhadap realiti dan kebenaran; ketiga, menegaskan aspek eksistensi yang mempromosikan pandangan hidup sekular; keempat, membela doktrin humanism seterunya kelima menjadikan drama dan tragedi sebagai unsur-unsur yang dominan dalam fitrah dan eksistensi kemanusiaan.

Dalam pandangan Islam, ilmu adalah mungkin. Jadi, pemikiran skeptisisme, relatifisme, agnotisisme tidaklah tepat. Selain itu, ilmu dalam Islam tidak terlepas dari wahyu. Ini disebabkan ilmu pengetahuan berasal dari Tuhan, dan diraih melalui saluran-saluran seperti pancaindera, riwayat yang benar berdasarkan autoriti seperti al-Quran dan hadis.

Jadi, pandangan Islam mencakupi dunia dan akhirat, yang mana aspek dunia harus berhubung dengan cara yang sangat mendalam kepada aspek akhirat, dan aspek akhirat memiliki signifikansi yang terakhir. Pandangan ini tidak berdasarkan kepada kaedah sains barat seperti objektif dan subjektif, historis dan normatif. Namun, realiti dan kebenaran ini perlu difahami dengan kaedah yang akhirnya mentauhidkan Allah. Ini kerana sains di dalam Islam bersumber kepada wahyu yang didukung oleh akal dan intuisi.

Pandangan-hidup Islam terdiri dari berbagai konsep yang saling terkait seperti konsep Tuhan, wahyu, penciptaan, psikologi manusia, ilmu, agama, kebebasan, nilai dan kebaikan serta kebahagiaan. Konsep-konsep tersebut yang menentukan bentuk perubahan, perkembangan dan kemajuan. Pandangan-hidup Islam dibangun atas konsep Tuhan yang unik, yang tidak ada pada tradisi filsafat, budaya, peradaban dan agama lain.

Manhaj dalam Memahami Sains dalam al-Quran

Terdapat terlalu banyak ayat Al Quran yang menyeru dan menyuruh manusia untuk memerhati dan mengkaji alam tabie’. Yang membezakan seruan Al Quran dengan sains barat ialah daripada aspek matlamat kajian terhadap alam tabie’ tersebut. Seruan al -Quran bermatlamat agar manusia dapat melihat kebesaran Allah SWT daripada alam yang telah diciptakan-Nya. Al Quran telah meletakkan mereka yang mengkaji alam tabi’ ini pada tahap yang tinggi dengan gelaran Ulul albab.
Firman Allah s.w.t. yang maksudnya:
“Sesungguhnya di dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda (kebesaran kami) kepada ulil albab”. Surah ali-Imran: ayat 190.

Ayat ini membuktikan kepada kita bahawa sains atau kajian terhadap alam tabie’ dapat meningkatkan keimanan dan ketaqwaan manusia terhadap Rabb-Nya. Isaac Newton yang terkenal dengan hukum gerakan dan gravitinya pernah mengatakan,” Saya umpama pengutip kerang di tepi pantai dan saya bernasib baik kerana telah menemui beberapa kulit kerang yang cantik tetapi sebenarnya di dalam laut sana masih terdapat tersangat banyak kerang yang cantik.” Kenyataan ini menginsafkan kita bahawa masih terdapat banyak rahsia atau hukum-hukum sains yang terdapat di dalam penciptaan bumi yang belum ditemui oleh manusia dan Allah menerangkan di dalam al- Quran bahawa kerang yang ditemui oleh Newton tersebut adalah tanda-tanda kebesaran-Nya. Sayangnya Newton tidak dapat melihat tanda-tanda kebesaran Allah daripada kerang yang telah ditemuinya.

Mengapakah Newton tidak dapat melihat tanda-tanda kebesaran tersebut? Ini adalah kerana objektif penyelidikan Newton hanyalah untuk memajukan teknologi tanpa ada hasrat untuk melihat kebesaran Tuhan. Keduanya, Newton tidak mempunyai ciri-ciri ulul albab. Ulul albab adalah gabungan di antara ciri ahli zikir dan ahli sains. Ahli zikir adalah mereka yang ingat kepada Allah pada setiap keadaan dan suasana seperti yang digambarkan oleh ayat di atas. Mereka yang mengingati Allah di dalam keadaan berdiri, duduk dan berbaring. Ahli sains adalah mereka yang memerhati, mencerap dan mengkaji alam tabie’. Gabungan di antara ingat kepada Allah dan mengkaji alam tabie’ telah membuahkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT, melahirkan golongan ulul albab. Ini dapat kita lihat daripada ungkapan golongan ulul albab yang memohon perlindungan kepada Allah SWT daripada azab api neraka.

Kita perlu memahami bahawa al-Quran bukanlah kitab sains, atau kitab undang-undang,atau kitab sejarah dan sebagainya, namun kita perlu mengimani bahawa al-Quran merupakan wahyu yang melangkaui ilmu-ilmu tersebut dimana al-Quran merupakan kitab yang memberi petunjuk seperti firman Allah s.w.t. yang maksudnya:
“Kitab (Al Quran) Ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa”. Surah al-Baqarah: ayat 2.

Al-Quran itu adalah kitab petunjuk bagi orang yang bertaqwa. Namun begitu, di dalam al-Quran, terdapat ciri-ciri yang boleh kita gunakan untuk mempertahankan agama ini hingga ke hari kiamat.Di sini diketahui bahawa ilmu-ilmu tentang alam yang luas ini telah diterangkan di dalam al-Quran. Hanya kita yang lemah ini mampu mengambil sedikit sahaja daripada intipati yang terdapat di dalamnya yang terbentang begitu luas.

Sesetengah ulama, dalam percubaan mereka untuk mengaitkan al-Quran dengan kemajuan ilmu pengetahuan moden dalam penafsiran mereka, sebenarnya telah mengikat kalamullah ( pertuturan Allah ) dengan pandangan-pandangan ilmiah yang baru tersingkap daripada kajian mereka. Tujuan mereka yang utama ialah menguatkan al-Quran dengan ilmu pengetahuan. Tetapi al-Quran tidak perlu lagi dikuatkan oleh ilmu pengetahuan, kerana al-Quran bukanlah sebuah kitab ilmu pengetahuan, tetapi ia merupakan sebuah kitab yang padanya adalah ibadah dan dasar hidup (manhaj).

Allah mengetahui bahawa sesudah beberapa abad daripada turunnya al-Quran akan muncul segolongan manusia yang mengatakan “sekarang telah berlalu zaman keimanan, dan bermula pula zaman ilmu pengetahuan”. Sebab itulah Allah meletakkan di dalam al-Quran hal-hal yang melemahkan (mukjizat) manusia. Dia telah membuktikan bahawa zaman ilmu pengetahuan yang mereka agung-agungkan itu sebenarnya telah dibicarakan oleh al-Quran dalam gambaran hakikat-hakikat alamiah.

Selain itu, juga perlu diketahui bahawa al-Quran bukanlah sebuah buku teks sains yang mengandungi fakta-fakta yang lengkap tentang sesuatu penciptaan kejadian dan unsur-unsur. Ia hanya memberi kerangka kasar atau clue dan terpulanglah kepada manusia samada mahu menggunakan akal yang dianugerahkan untuk mengkaji dan mengamati sesuatu dengan cara yang lebih teliti. Untuk tujuan mengkaji dan memahami (tadabbur), kita tidak boleh bergantung kepada tafsiran-tafsiran yang terdapat di kedai buku sahaja, bahkan kita perlu memahami bahasa al-Quran itu sendiri yang pada hakikatnya ialah bahasa Arab Klasik yang ada perbezaan dengan bahasa Arab Kini.

Sebagai contoh, Di dalam penafsiran dua ayat di dalam al-Quran, firman Allah yang bermaksud:
“Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Ikutilah apa yang Telah diturunkan Allah," mereka menjawab: "(Tidak), tetapi kami Hanya mengikuti apa yang Telah kami dapati dari (perbuatan) nenek moyang kami”. (Apakah mereka akan mengikuti juga), walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apapun, dan tidak mendapat petunjuk? Dan perumpamaan (orang-orang yang menyeru) orang-orang kafir adalah seperti penggembala yang memanggil binatang yang tidak mendengar selain panggilan dan seruan saja. mereka tuli, bisu dan buta, Maka (oleh sebab itu) mereka tidak mengerti”. Surah al-Baqarah: ayat 170-171.

Di dalam ayat yang lain,Allah berfirman yang maksudnya :
“Apabila dikatakan kepada mereka: "Marilah mengikuti apa yang diturunkan Allah dan mengikuti Rasul". mereka menjawab: "Cukuplah untuk kami apa yang kami dapati bapak-bapak kami mengerjakannya". dan apakah mereka itu akan mengikuti nenek moyang mereka walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui apa-apa dan tidak (pula) mendapat petunjuk? Hai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu; tiadalah orang yang sesat itu akan memberi mudharat kepadamu apabila kamu Telah mendapat petunjuk. Hanya kepada Allah kamu kembali semuanya, Maka dia akan menerangkan kepadamu apa yang Telah kamu kerjakan”. Surah al-Maidah: ayat 104-105.

Sekiranya seorang pentafsir tersebut tidak memahami bahasa Arab yang merangkumi balaghah dan sebagainya, kita mungkin terikut dengan kata-kata orientalis yang mengatakan perkataan Ya’qiluun dan Ya’lamun adalah sama.Tetapi jika kita kaji bahasa Arab sesungguhnya ia membawa maksud yang berlainan.
Apabila Allah menyebut perkataan Laa Ya’qiluun, maksudnya bahawa mereka tiada memahami sesuatu pun, mereka tidak mempunyai akal untuk berfikir dan tidak merenungkan urusan ciptaan alam ini meskipun mereka diberikan akal tetapi tidak menggunakannya.

Tetapi apabila Allah menggunakan perkataan Laa Ya’lamun. Dia telah menafikan pemahaman dan pengetahuan sekaligus. Maka sebenarnya Allah mahu memberitahu bahawa mereka di samping tidak memerhati isi alam ini, mereka juga tidak memahami bukti-bukti dan tanda-tanda yang tidak terdapat di dalamnya.Maksudnya di sini, mereka sengaja tidak mahu memikir akan alam ini walaupun diberikan akal.Sudahlah tidak mempunyai ilmu, tidak juga mahu mengambil ilmu daripada orang lain.

Oleh itu, dalam menafsir sesuatu ayat-ayat kauniyah (alam), seseorang pentafsir perlulah memenuhi syarat-syarat berikut :
1. Meraikan syarat- syarat pentafsiran lain (naqli, aqli, isyari).
2. Pentafsiran ayat-ayat kauniyah perlulah selari dengan makna yang dikehendaki oleh al-Quran.
3. Penafsiran tidak boleh mengeluarkan (menyalahkan) ayat al-Quran sekiranya terdapat pertentangan makna antara ayat tersebut dengan teori-teori sains.
4. Penafsiran tersebut mestilah terikat dengan al-Quran. Ini bermaksud sekiranya terdapat pertentangan fakta saintifik dengan ayat al-Quran, maka perlu mengikut ayat al-Quran.
5. Tidak boleh meletakkan makna ayat al-Quran dan fakta saintifik seiring.ini kerana fakta saintifik berubah dari semasa ke semasa tetapi makna ayat al-Quran tidak berubah. Oleh itu fakta saintifik perlu mengikut makna ayat al-Quran.
6. Menjadikan ayat kauniyah di dalam al-Quran di dalam makna yang asal iaitu ia sebagai menjelas dan menfsirkan ayat al-Quran.
7. Pentafsir tidak boleh membelakangi ilmu bahsa Arab. Ini kerana al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab.
8. Penafsiran tersebut tidak boleh menyanggahi dengan hukum syara’
9. Penafsiran tersebut hendaklah selari dengan ayat yang ditafsir tanpa mengurangkan apa yang diperlukan daripada penjelasan makna ayat tersebut, ataupun menambahkan apa yang tidak patut dan tidak berkaitan.
10. Penafsiran tersebut hendaklah mengambil kira perkaitan antara ayat tersebut dengan ayat sebelumnya atau ayat yang berkaitan degannya.Ini bagi mewujudkan suatu paradigma yang betul terhadap penafsiran ayat kauniyah secara keseluruhannya.

Penutup

Umat Islam hari ini menghadapi masalah yang besar untuk meneruskan kelangsungan hidupnya kerana intipati kewujudan mereka yakni keimanan mereka kepada Allah telah tergugat dengan warna-warni kehidupan yang telah dihasilkan oleh perkembangan sains dan teknologi. Teknologi telah melonjakan industri muzik, perfileman, media massa dan pendidikan menjadi industri yang mendarah daging di dalam kehidupan manusia. Gugatan terhadap keimanan umat berlaku apabila industri ini dalam bentuk yang menyukakan umat telah menitiskan fahaman ateisme, pergaulan bebas, kemewahan yang melampau, keseronokan dan kebebasan daripada ikatan agama ke dalam pemikiran dan hati mereka. Hasilnya masalah keruntuhan akhlak di kalangan umat islam seperti perzinaan umpamanya bukanlah feneomena yang berlaku di bandar sahaja tetapi telah menular ke kawasan kampung dan pedalaman

Oleh itu, penyembuhan terhadap masalah ini ialah dengan mengubah objektif penyelidikan daripada hanya untuk perkembangan teknologi kepada melihat kebesaran Allah di dalam setiap penyelidikan yang dilakukan. Usaha penyembuhan ini perlulah dimulakan di peringkat latihan perguruan di maktab, pendidikan sekolah rendah dan menengah lagi. Ianya bukanlah satu tugas yang mudah kerana semua guru dan ahli sains yang ada telah melalui satu sistem pendidikan sains yang melihat pencipta kepada hukum-hukum yang dikaji adalah nature. Kehidupan seharian seperti iklan umpamanya sering mengungkapkan seperti “alam telah menganugerahkan kepada kita” sedangkan ungkapan yang tepat ialah “ tuhan telah menganugerahkan kepada kita”. Idea sains yang melihat alam ini terjadi sendiri telah meresap ke dalam kehidupan seharian umat tanpa disedari walaupun pada hati kecil umat masih meyakini ada tuhan yang telah menciptakan alam ini.

Usaha penerapan nilai murni di dalam pengajaran sains yang telah dijalankan oleh Kementerian Pendidikan melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) haruslah diperkemaskan lagi dengan menegaskan aspek melihat kebesaran, keagungan dan kasih sayang Allah di dalam setiap kejadian dan hukum yang berlaku di alam ini. Jawatankuasa untuk menghasilkan modul pengajaran yang menerapkan aspek ketuhanan di dalam pembelajaran sains haruslah diwujudkan. Begitu juga latihan perguruan juga haruslah memasukan aspek ini ke dalam kurikulum.

Kesimpulannya sains adalah kajian terhadap alam yang telah diciptakan oleh Allah SWT. Alam ini adalah kitab yang terbuka yang menyajikan kebesaran dan keagungan pencipta-Nya. Oleh itu kajian terhadap alam ini akan membawa manusia untuk mengenal Allah SWT dan dapat meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada-Nya. Sains barat hanyalah bertujuan menggunakan pengetahuan tentang alam tabie untuk diaplikasikan sebagai teknologi. Pendekatan ini semata-mata telah menutup satu pintu besar manusia dan umat Islam khususnya untuk mengenal Allah SWT.

Sains barat telah memudah dan menyenangkan kehidupan manusia tetapi oleh kerana ia bersifat materialisme semata-mata, sains akhirnya membawa manusia kepada gejala keruntuhan akhlak yang sangat hebat. Sains memberikan kemudahan tetapi tidak dapat memberikan ketenangan dan kedamaian di dalam kehidupan manusia. Sains mestilah dikembalikan kepada landasan yang benar, untuk mengenal Allah dan mengembangkan teknologi yang akan memudahkan kehidupan manusia.

No comments:

Post a Comment