
Ilmu tafsir merupakan disiplin ilmu yang sangat penting dalam Islam. Melalui disiplin ilmu inilah, umat islam akan memahami ayat-ayat al-Quran yang diturunkan oleh Allah s.w.t kepada manusia. Tentang perkembangan ilmu ini, ia boleh didapati dalam perbahasan yang berkaitan dengan Tarikh al-Tafsir.
Antara karya utama yang boleh dirujuk ialah al-Tafsir wa al-Mufassirun oleh Muhammad bin Hussain al-Zahabi, Lumahat fi Ulum al-Quran Wattijahat al-Tafsir oleh Dr. Muhammad bin Lutfi al-Sobbagh dan Dirasat fi al-Tafsir wa Usulihi oleh Dr. Mahyuddin al-Baltaji.
Sejarah tafsir boleh dibahagikan kepada empat peringkat, iaitu:
Peringkat pertama: Zaman Nabi s.a.w
- Nabi s.a.w sebagai orang menerima wahyu.
- Para sahabat terus merujuk nabi jika tidak memahami sesuatu ayat.
- Nabi menafsirkan banyak perkataan yang tidak dapat difahami oleh para sahabat. Contohnya dalam hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah s.a.w. bersabda tentang al-Kautsar iaitu sungai yang Allah janjikan untukku di Syurga.
Peringkat kedua: Zaman Sahabat
- Selepas kewafatan Nabi s.a.w, para sahabat menggunakan beberapa kaedah dalam mentafsirkan al-Quran, 1. Mentafsirkan ayat al-Quran dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran yang lain. 2. Mentafsirkan ayat al-Quran dengan menggunakan tafsiran Nabi s.a.w. 3. Mengistinbat menggunakan kekuatan dan kefahaman masing-masing. 4. Mengambil daripada para sahabat yang sebelum memeluk Islam merupakan ahli kitab.
- Antara tokoh-tokoh para sahabat dalam tafsir ialah Abdullah bin Abbas, Abdullah bin Mas‘ud, Ali bin Abi Talib, Ubai bin Kaab, Abu Bakar, Umar bin al-Khattab, Uthman bin Affan, Zaid bin Thabit, Abu Musa al-Asy‘ari dan Abdullah bin Zubair.
Peringkat ketiga: Zaman Tabiin
- Metode atau kaedah penafsiran tidak banyak berbeza dengan zaman para sahabat (berguru dengan sahabat).
- Tabiin menambah satu lagi kaedah iaitu istinbat ayat al-Quran berdasarkan kekuatan dan kefahaman masing-masing.
- Ada beberapa madrasah: 1)- Madrasah Mekah atau Madrasah Ibnu Abbas yang melahirkan mufassir terkenal seperti Mujahid bin Jubair, Said bin Jubair, Ikrimah Maula ibnu Abbas, Towus al-Yamany dan ‘Atho’ bin Abi Robah. 2)- Madrasah Madinah atau Madrasah Ubay bin Ka’ab, yang menghasilkan pakar tafsir seperti Zaid bin Aslam, Abul ‘Aliyah dan Muhammad bin Ka’ab al-Qurodli. 3)- Madrasah Kufiyyun atau Madrasah Ibnu Mas’ud, diantara murid-muridnya yang terkenal adalah al-Qomah bin Qois, Hasan al-Basri dan Qotadah bin Di’amah al-Sadusy.
Peringkat keempat: Zaman selepas Tabiin hingga sekarang
- Selepas zaman Tabiin, tafsir al-Quran dihimpunkan dalam bab-bab di dalam kitab-kitab hadith. Antara ulama’ hadith yang menghimpunkannya ialah Yazid bin Harun al-Salami (117H), Waki’ bin al-Jarrah (197H) dan Sufyan bin Uyainah (198H).
- Selepas dihimpunkan melalui kitab-kitab hadith, barulah tafsir ayat al-Quran dihimpunkan ayat demi ayat. Antara ulama’ yang mengarangnya ialah Ibn Jarir al-Tabari (310H) dan Ibn Abi Hatim (327H).
- Kemudian barulah ayat-ayat al-Quran ditafsirkan mengikut tema-tema tertentu atau kecenderungan pengarang dalam membahaskan ayat al-Quran kebolehan masing-masing. Pada masa inilah, adanya tafsir ayat-ayat hukum, I’rab dan lain-lain.
- Barulah muncul tafsir-tafsir bi al-Ra’yi dan tafsir maudu‘i.
No comments:
Post a Comment