Baucar Buku

Baucar Buku
Kami Menerima Baucar Buku 1Malaysia

Thursday, April 11, 2013

Tajuk: Mohammed Morsi
Penulis: Zainudin Hashim
Penerbit: Kemilau Publika
Harga: RM25.00

Prof. Dr. Mohammed Morsi adalah salah seorang hamba Allah SWT yang dikehendaki-Nya untuk menjadi khalifah (pemimpin) di bumi Kinanah (Mesir). Beliau berusaha untuk menghadirkan kembali etika dan ciri-ciri kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w. yang dirindui oleh penduduk negeri Kinanah (Mesir) bahkan seluruh umat Islam di zaman milenium ini. Beliau diharapkan oleh kaum Muslimin untuk menzahirkan firman Allah SWT yang berbunyi, “Dan Kami jadikan di antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami ketika mereka sabar dan mereka meyakini ayat-ayat Kami.” [ Surah as-Sajadah : 24]

Lahir di Kampung Al-Adawah daerah Asy-Syarqiyah, sebuah wilayah pertanian di bahagian Timur Mesir dengan pelbagai amalan agama yang menjadi tradisi secara turun- temurun, menjadikan Mohammed Morsi tumbuh kembang dalam tradisi dan warna agama yang bersinar dalam dirinya sejak kecil lagi. Meskipun beliau hidup dalam kesederhanaan kerana bapanya hanyalah seorang petani dan ibunya seorang suri rumah tangga, semua itu tidak menjadi halangan bagi beliau untuk mencapai cita-cita besarnya iaitu menjadi manusia yang berguna kepada negara dan agamanya.

Seperti kebiasan anak-anak Mesir yang lain, sejak kecil, Mohammed Morsi dibawa ibu bapanya ke Kuttab (surau kampung) untuk menghafal ayat-ayat al-Quran yang disemak oleh seorang syeikh. Kebiasaan itu diteruskan sehingga beliau dapat menghafal 30 juzuk. Pada masa yang sama, beliau juga belajar pendidikan formal. Mohammed Morsi membesar secara kebiasaan, bersifat seperti masyarakat desa yang jujur, taat beribadat, sangat menjiwai nilai-nilai agama Islam yang menjadi semangat hidup dan kehidupan keluarganya serta masyarakat desa Mesir pada umumnya.

Dalam dirinya terdapat sikap beragama yang tegak lurus di atas nilai-nilai keseimbangan di antara ucapan dan tindakan. Beliau juga mempunyai amalan zikir yang bersamaan dengan fikir serta menerapkan syariat yang senafas dengan semangatnya. Mohammed Morsi sejak kecil mencontohi Hasan al-Banna iaitu seorang yang istiqamah menjalankan syariat Allah SWT serta pada masa yang sama beliau adalah pembela agama yang teguh. Dua sifatnya iaitu pengamal syariat yang konsisten dan pembela agama yang utuh telah membentuk sifat Mohammed Morsi menjadi seorang yang bijak, tegas membela mereka yang dipinggirkan dan membela kaum Mustadafin (lemah dan dilemahkan). Pada masa yang sama, beliau sangat taat beribadat kepada Allah SWT.

Buku ini mengulas perihal keperibadian Mohammed Morsi juga sinar Khilafah Islam yang akan kembali gemilang.

Tajuk: Biografi Agung Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam
Penulis: Rusydi Ramli al-Jauhari
Penerbit: Must Read
Harga: RM65.00



Wednesday, April 10, 2013

Tajuk: Ketika Melafazkan Tiada Tuhan Melainkan Allah
Penulis: Zainudin Hashim
Penerbit: Kemilau Publika
Harga: RM17.00

Buku 'Allah Is Calling' yang telah diterbitkan sebelum ini telah memaparkan kisah beberapa orang insan yang telah dianugerahkan hidayah dari Allah. Hidayah yang diterima telah mengubah cara hidup mereka dengan berlandaskan Islam berbanding sebelumnya. Justeru, kali ini, juga akan menceritakan kisah insan lain yang turut menerima hidayah Allah. Naskah ini juga akan berusaha untuk mendedahkan kedua-dua perbezaan maksud antara dua perkataan yang sinonim dengan orang bukan Islam dan mereka yang cenderung kepada Islam iaitu ‘taufiq’ dan ‘hidayah’.

Hal ini supaya para pembaca dapat membuat penilaian secara bijak bagaimana seseorang itu dikurniakan kepadanya taufiq terlebih dahulu sebelum mendapat hidayah daripada Allah . Walau bagaimanapun untuk mendapat hidayah ada bermacam-macam sebab, malah ada berbagai-bagai cara yang antara satu sama lain tidak sama.

Ikutilah kisah menarik para muallaf yang datang daripada pelbagai latar belakang dan pengalaman.





Tajuk: Wanita Juga Boleh Berbisnes
Penulis: Muhammad Abu Syauqi Banna
Penerbit: Kemilau Publika
Harga: RM16.00

Wanita sering dihadapkan pada dua sudut ekstrem yang dilihat menjerumuskan mereka pada keadaan yang wajib untuk memilih. Di satu sudut, ia patut berada di rumah untuk mengurus anak-anak, mengelap lantai, mencuci pakaian dan tidak boleh keluar rumah. Akibatnya, hak-hak mereka sebagai hamba Allah ada yang tidak sempurna. Mereka tidak mendapatkan pendidikan yang baik, pergaulan yang semestinya serta potensi diri yang terbatas.

Di sudut lain, kita menyaksikan para wanita berkeliaran bebas tanpa ikatan. Waktu kerja dari pagi hingga malam, membuat mereka tidak pernah mempedulikan anak-anak. Bila gaji mereka jauh lebih besar daripada lelaki, membuat mereka -kadang-kadang ego dan kehilangan rasa hormat terhadap suami.

Islam memberikan begitu banyak petunjuk tentang orbit wanita dalam sistem hidup ini. Menurut tuntunan Rasulullah, Islam sebagai agama yang amat memerhatikan masalah keseimbangan, menegaskan bahawa wanita adalah pendamping lelaki dalam usaha menegakkan kalimat Allah. Jika hendak diumpamakan, wanita dan lelaki laksana dua bintang yang berada pada orbit yang berbeza. Namun keduanya memiliki peranan yang sama dalam menentukan kesimbangan bagi jagat ini.

Buku ini menukilkan gambaran cara berbisnes seperti yang ditunjukkan wanita solehah sesuai sepanjang zaman. Selamat membaca!

Tajuk: Mengapa Rasulullah Tidak Mudah Sakit
Penulis: Asadullah Al-Faruq
Penerbit: Kemilau Publika
Harga: RM17.00

Tiada yang menafikan bahawa sihat adalah faktor kejayaan. Bahkan, sihat adalah tiang utama kejayaan itu sendiri. Walaupun ada juga orang yang berjaya dengan mempunyai penyakit, namun orang yang sihat ‘jauh lebih mungkin’ untuk melakukan suatu impian yang tidak boleh dilakukan oleh orang sakit. Itulah rahsia sebuah kata-kata hikmah yang berbunyi “Orang sihat boleh mempunyai seratus keinginan, namun orang sakit hanya mempunyai satu keinginan”.

Sihat fizikal semata ‘bukan jaminan’ kesejahteraan di muka bumi. Bahkan, sihat fizikal yang tidak diimbangi sihat rohani, sihat sosial dan sihat emosi intelektual nyata membawa malapetaka kehancuran. Firaun, Hitler, Gengis Khan adalah individu yang sihat gagah perkasa namun justeru menjadi magnet kehancuran di muka bumi ini.

Rasulullah telah menunjukkan cara agar ‘Sihat Holistik’ untuk kita. Ketika kita tercari-cari ‘nawaitu’ mempelajari tiang memperoleh kesihatan maka pintu-pintu kesihatan telah terbuka; dan kita boleh merawat sakit yang acapkali hadir. Ataupun kita dapat meminimakannya. Cara mana yang lebih baik dari cara yang telah diajarkan oleh Rasulullah? Kami yakin, anda orang bijak untuk menuju sihat itu sendiri.

Buku ini juga mendapat sentuhan daripada Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau sempat berkongsi tips kesihatan dan pengalaman beliau merasai sakit yang panjang kepada kita semua.

Tajuk: Tafsir al-Quran; Surah Pilihan
Penulis: Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat
Penerbit: Kemilau Publika
Harga: RM17.00

Kupasan tafsir Al-Quran ini amatlah penting untuk kita fahami erti dan susunannya dalam 6,000 lebih patah perkataannya ini. Para alim dan ulama’ handalan amatlah mengambil-berat tentang segala-galanya mengenai Al-Quran. Segenap segi membawa maksud yang penting.

Di dalam agama lain, seperti Kristian misalnya, tiada seorang pun antara paderi mereka yang mengambil tahu segenap pembilangan di dalam Kitab Injil serta juzuk-juzuk yang terkandung di dalamnya. Tetapi, dalam Islam semua usaha dijanjikan ganjaran pahala disisi Allah SWT. Maka para ulama’ serta ilmuan Islam mengambil kira malah memberatkan pemahaman tafsir dan makna dalam hal-hal yang tersebut.

Tok Guru cuba menerangkan kepada kita jalan kebahagiaan dan kesejahteraan, juga faktor-faktor kebinasaan dan kesengsaraan manusia. Hubungan baik kekeluargaan dan kemasyarakatan, masalah-masalah hukum dan akhlak, keperluan-keperluan jiwa dan raga, tugas-tugas individu dan sosial, adat istiadat yang benar dan yang menyimpang di dalam masyarakat manusia.

Walaupun di dalam Al-Quran disebutkan juga kisah-kisah tentang kaum-kaum terdahulu, berbagai peristiwa peperangan dan pertempuran, sejarah kehidupan manusia-manusia, baik lelaki maupun perempuan, namun Al-Quran bukanlah sebuah buku cerita, melainkan kitab pengajaran bagi kehidupan kita masakini. Tok Guru mengaitkan dengan contoh-contoh setempat dan sesuai dengan masyarakat negara ini.

Wajarlah buku ini miliki oleh kita semua seperti belajar terus dari Tok Guru. Mudah-mudahan ada manfaat.

Tajuk: Zikir Ibu Mengandung
Penulis: Muhammad Mahmud
Penerbit: Kemilau Publika
Harga: RM15.00

Di saat kehamilan, seorang ibu akan mengalami perubahan-perubahan psikologi. Kegelisahan dan kecelaruan biasanya menghampiri. Apatah lagi, ibu itu mengandung anak sulung. Faktor tekanan jiwa atau stress yang mungkin menjadi masalah tersendiri baginya.

Tapi usah bimbang, jangan khuatir, sebagai seorang muslimah kita mempunyai tips tersendiri untuk mengatasi semua itu. Antara caranya adalah dengan membanyakkan zikir kepada Allah dengan zikir yang sunnahkan. Dengan cara begitu hari-hari ketika mengandung akan terasa lebih bermakna.

Buku ini juga dilengkapi dengan pengetahuan soal pahala yang akan diberikan oleh Allah kepada ibu mengandung. Ini sangat menarik untuk dikaji dan didalami, kerana setiap hembusan nafas ibu yang mengandung dapat memberatkan amalnya di akhirat kelak.

Semoga kita semua diberikan Allah keberkatan dalam setiap usaha kita menjadi insan yang bertaqwa.

Tajuk: Agar Haji Tidak Sia-Sia
Penulis: Misbah Em Majidy
Penerbit: Kemilau Publika
Harga: RM22.00

Perbaruilah janjimu di hadapan Allah dengan mengakui segala keesaanNya. Dekatkan diri selalu kepada Allah ketika di Muzalifah. Sembelihlah tengkuk hawa nafsu dan kerakusan ketika engkau menyembelih haiwan korban. Lemparkanlah syahwat, kerendahan, kekejian, dan segala perbuatan tercela ketika melempar Jumrah (Jamarat). Cukurlah aib-aib lahir (kotoran) dan batinmu (dosa) ketika mencukur rambut.

Tinggalkan kebiasaanmu yang selalu menurut kehendak (keinginan nafsu)mu, dan masuklah kepada perlindungan ke Masjidil Haram. Berputarlah di sekitar Baitullah dengan sungguh-sungguh mengagungkan Pemiliknya dan menyedari Kebesaran dan Kekuasaan-Nya.

Beriltizamlah kepada Allah dengan penuh keredaan atas setiap ketentuan Allah dan rendahkan diri engkau di hadapan KebesaranNya. Tinggalkanlah apa saja selain Allah dalam hatimu ketika engkau melaksanakan tawaf perpisahan. Sucikan batinmu untuk menemui Dia (Allah Azza wa Jalla) pada hari pertemuan dengan Dia, ketika kau berdiri di Safa. Tempatkan dirimu pada pengawasan Allah dengan membersihkan seluruh perilakumu di Marwah.”

Maka, lakukanlah dengan niat yang betul lurus dan sempurna, agar hajimu tidak menjadi sia-sia.



Tajuk: Sentuhlah Jiwamu dengan Ayat-ayat Cinta Allah
Penulis: Selamat Amir
Penerbit: Kemilau Publika
Harga: RM13.00

Ayat-ayat cinta-Nya…
Membuat Hidup Penuh Makna..
Damai Jiwa, Tiada Duka dan Lara..
Membalut Luka Lama..
Dengan Lilitan Cinta Tiada Tara…
Moga Istiqamah Berselimut Mujahadah..
Kerana Manisnya Syurga Yang Tiada Dua..

Sentuhlah jiwamu dengan ayat-ayat cinta Allah merupakan sebuah nukilan daripada seorang penulis muda yang menjelaskan mengenai kalimat-kalimat al-Quran yang ringkas, namun mampu menjadi motivasi kepada manusia yang berpegang kepadanya. Ini kerana, walaupun ringkas, namun ia mempunyai maksud tersirat yang panjang. Ianya menusuk sanubari sesiapa yang berpegang padanya.

“Peganglah kedua-dua tanganmu sekuat-kuatnya dengan tali Allah SWT,
Sesungguhnya ia adalah satu-satunya sandaran buatmu
Dan biarkan sandaran-sandaran yang lain melepaskanmu
Dan yakinlah apa yang datang dan pergi darimu itulah yang terbaik buatmu”

Tajuk: 100 Sunnah Rasulullah yang dilupakan
Penulis: Haifa Abdullah ar-Rasyid
Penerbit: Kemilau Publika
Harga: RM20.00

Selain ikhlas, dalam beribadah kepada Allah swt kita diperintahkan untuk berittiba' (mengikuti) sunnah (ajaran) Rasulullah saw. Namun, bila melihat realitinya, umat Islam kini lebih banyak meninggalkannya.

Ada yang meninggalkannya kerana kurang perhatian dan cenderung melupakannya; ada pula mengolok-olokannya, bahkan menghina orang yang mengamalkan serta menghidupkan sunnah Rasulullah saw.

Menghidupkan sunnah Nabi saw ertinya memahami petunjuk beliau.

"...maka hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah para khalifah al-Rasyidln al-Mahdiyyin (yang mengetahui kebenaran serta mengikutinya, yang mendapat pimpinan ke jalan yang betul) dan gigitlah kamu dengan geraham gigi kamu." [HR Abu Daud & Tirmizi]

Buku istimewa ini menghuraikan pelbagai sunnah Nabi saw yang makin dilupakan oleh kebanyakkan kaum muslimin; diantaranya masalah taharah, solat, musafir, haji dan umrah serta berbagai adab mulia dan muamalah lainnya.

Tajuk: Travelog Budak Mentah
Penulis: Hafizul Faiz
Penerbit: Kemilau Publika
Harga: RM19.00

"Setiap yang tua pernah muda, namun setiap yang muda tidak semestinya tua. Perjalanan hidup punya cerita yang berbeza bagi setiap manusia meskipun datangnya mereka daripada sulbi yang satu iaitu Nabi Adam dan Hawa a.s. Hafizul Faiz anak muda gigih, membaca, memikir dan menulis setiap yang dilaluinya.

Jujur berkongsi dan jelas hala fikirnya, bukan semua orang sudi berkongsi cerita, apatah lagi cerita dirinya sendiri... namun untuk dakwah, untuk perkongsian beliau mengambil jalan yang jarang dipilih oleh rakan seusianya malah mungkin yang berganda usia daripadanya."

Tajuk: Fadzil Noor: Dia Guru Dia Kawan
Penulis: Subky Abdul Latif
Penerbit: Kemilau Publika
Harga: RM20.00

FADZIL NOOR, dia guru, dia kawan; adalah satu catitan ringkas, satu pandangan peribadi dan satu ingatan semula mengenai Fadzil Noor sebagai kawan dan yang boleh dianggap guru. Buku ini bukan satu sejarahnya, bukan biografinya, bukan ajaran dan pemikirannya, tetapi adalah satu kumpulan pengalaman bagi mengenali beliau secara umum sepintas lalu.

Biar sejarahnya dirakam oleh para sejarawan, ajaran dan pemikirannya dikaji dan dianalisis oleh para propagandis zaman dan orang-orang yang lebih dekat dengannya. Moga–moga para pengkaji dan peminatnya dapat memanfaatkan catatan ini sebagai persiapan awal untuk menghasilkan rakaman khazanah peninggalannya yang lebih besar dan bernilai.

Paling penting di sini ialah Ustaz Fadzil Noor mesti dikenali oleh orang-orang yang hidup sezaman dengannya dan mereka yang tahu nama tetapi tidak sempat mendekatinya serta belum dilahirkan semasa beliau pergi dulu. Menerusi buku ini generasi terkemudian akan mengetahui kehadiran seorang putera besar di dunia yang bernama Fadzil Mohd. Noor.

Tajuk: Kamu, Apa yang Kamu Makan
Penulis: Ann Wan Seng
Penerbit: Kemilau Publika
Harga: RM18.00

Pemakanan merupakan salah satu aspek yang sangat diberikan penekanan oleh Islam. Umat Islam bukan sahaja diminta memakan makanan yang halal iaitu yang suci dan bersih tetapi juga toyyiban yakni makanan yang baik, selamat serta memberikan manfaat kepada tubuh dan kesihatan. Selain itu, aspek pemakanan juga mempunyai kaitan yang rapat dengan amalan keagamaan dan amal ibadat yang dilakukan. Bagi mencapai kesempurnaan dan tahap tertinggi dalam ibadat, roh perlu dalam keadaan yang bersih. Untuk membersihkan roh, seseorang perlu membersihkan hatinya. Untuk membersihkan hati pula, seseorang harus memastikan makanan yang dimakan adalah bersih dan datang daripada sumber yang halal.

Menyedari betapa pentingnya aspek ini dalam kehidupan umat Islam dan manusia secara umumnya, buku ini memberikan perhatian khusus untuk memberikan panduan mengenai pemakanan berasaskan sunnah Nabi dan tuntutan ajaran Islam. Sesungguhnya sebaik-baik contoh tauladan ialah baginda Rasulullah . Setiap perkataan, perbuatan, pengakuan dan cara hidup baginda mempunyai hikmahnya yang tersendiri.

Semoga dengan memiliki buku ini akan memberikan kesedaran kepada kita dalam menjaga pemakanan seharian kerana ia melibatkan bukan sahaja aspek kesihatan malah keagamaan.

Selamat Membaca.





Tajuk: Mauizhah: Catatan Bimbingan dari Seorang Guru
Penulis: Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat
Penerbit: Kemilau Publika
Harga: RM28.00

Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap Muslim, seorang alim bernama Fatah al-Maushili rahimahullah telah mengemukakan pertanyaan kepada muridnya: "Benarkah seorang pesakit akan mati jika tidak dirawat dan tidak diberi makan minum?"

"Benar katamu wahai tuan guru." Jawab murid-muridnya. Berkata Fatah al-Maushili seterusnya: "Demikian juga hati manusia jika disekat selama tiga hari daripada menerima ilmu dan hikmah, pasti ia akan mati."

Yang dimaksudkan dengan ilmu itu ialah syariat yang menjelaskan hukum-hakam dan peraturan Allah SWT. Sementara hikmah ialah kebijaksanaan menggunakan ilmu tersebut untuk menghubungkan diri dengan Allah SWT dan hubungan dengan sesama manusia.

Jasad dan tubuh manusia akan mati jika keperluan makan minumnya disekat, demikian juga rohani (jiwa) manusia akan mati jika tidak diberi ilmu dan hikmah yang menjadi santapannya.

Oleh itu, ilmu adalah penting dalam kehidupan manusia, setiap manusia yang mengajar dan belajar ilmu akan mendapat manfaat masing-masing di dunia dan akhirat.

Hayati bimbingan Tok Guru agar kita lebih belajar tentang hidup ini.