Tajuk: Islam; Ibadah Pembina Tamadun Manusia
Penulis: Dato' Dr Haron Din
Penerbit: PTS
Harga: RM16.00
Buku ini menerangkan Islam sebagai cara hidup. Apakah yang dimaksudkan dengan Islam sebagai cara hidup? Apakah kita sudah menjadikan Islam sebagai cara hidup? Buku ini juga membicarakan berkenaan rukun Islam secara mudah difahami, sesuai bagi semua golongan, bemula daripada syahadah, solat, puasa, zakat dan haji.
Siapakah saya? Dari manakah saya datang? Siapakah yang menciptakan saya? Mengapa saya diciptakan? Apakah peranan saya di dunia ini? Apakah pula misi dan visi saya dalam kehidupan ini? Apakah kesudahan selepas kewujudan saya ini? Ke manakah saya selepas mati? Ini adalah persoalan yang wajib dijawab oleh setiap manusia yang hidup di dunia.
Manusia diciptakan Allah dengan matlamat tertentu. Matlamat itu dinyatakan dalam surah al-Zariyat, ayat 56 yang bermaksud, “Dan tiadalah aku menciptakan jin dan manusia kecuali supaya mereka memperhambakan diri kepadaku.” Ayat ini menjelaskan matlamat penciptaan manusia iaitu beribadah kepada Allah. Lalu, ramai yang mempersoalkan, bagaimana dengan manusia itu sendiri? Sekiranya matlamat penciptaan manusia adalah untuk beribadah, maka jangan pula diberikan akal dan nafsu kepada manusia. Tanpa akal dan nafsu, manusia mampu patuh tetapi dengan akal dan nafsu, manusia juga perlu fikirkan kepentingan dirinya sendiri.
Inilah yang cuba saya perincikan di dalam buku ini. Ramai yang keliru dengan menganggap ibadah adalah bagi Allah. Ramai juga yang keliru, ibadah hanyalah solat, zakat, puasa, haji dan segala aspek ritual yang tidak ada kaitan dengan kehidupan seharian. Sebenarnya, ibadah adalah untuk manusia yang beribadah itu sendiri. Allah tidak memerlukan ibadah kita tetapi kita beribadah demi kepentingan dan kebahagiaan diri kita di dunia dan akhirat. Ibadah yang kita lakukan tidak pernah menambah ataupun mengurangkan kehebatan Allah. Ia sepenuhnya untuk diri kita sendiri.
No comments:
Post a Comment